Isnin, 15 September 2014

EPAL...merupakan buah kegemaran ramai rakyat Malaysia....namun tahukah anda akan khasiat dan kebaikkannya?

Hati Epal diet terbaik Oleh Siti Zarinah Sahib Pengambilan buah-buahan adalah sumber antioksidan terbaik, sekali gus menjadikan badan lebih segar dan sihat. Malah kajian dijalankan penyelidik luar negara mengenai pengambilan buah-buahan segar menemui kaitan antara pengambilan epal ke atas penurunan berat badan serta risiko sakit jantung. Kajian menunjukkan wanita yang mengambil epal dan pear setiap hari akan kehilangan kalori lebih tinggi berbanding biskut atau bijirin. Ini kerana epal membantu menggalakkan penurunan berat badan memandangkan ia mempunyai ketumpatan tenaga rendah atau kalori lebih rendah berbanding buah lain. Epal juga tersenarai sebagai buah tinggi serat, justeru menyebabkan individu kenyang lebih lama. Epal juga mempunyai pelbagai kebaikan jika diambil setiap hari antaranya: Foto EPAL kaya vitamin C dan antioksidan. • Diet terbaik Makan epal sebagai gantian sajian utama. Ia mampu mengurangkan tahap kolesterol, malah jika makan dua biji epal sehari, anda boleh mengurangkan tahap kolesterol sehingga 10 peratus. Sebiji epal menyediakan serat sama seperti semangkuk bijirin serta satu perlima daripada serat pengambilan harian yang disyorkan. • Penyegar mulut semula jadi Epal buah-buahan yang rangup dan ketika makan, ia boleh membersihkan gigi dan menguatkan gusi secara semula jadi. • Membekalkan tenaga Karbohidrat kompleks epal memberikan rangsangan tenaga lebih lama berbanding makanan bergula. Makan epal sebagai gantian snek membantu menjaga tubuh kekal sihat sepanjang hari. • Menguatkan tulang Epal menyediakan sejenis galian iaitu boron, elemen penting yang membantu tulang lebih kuat, sekali gus mencegah osteoporosis. • Mudahkan penghadaman Epal mengandungi pektin, sejenis serat larut yang menggalakkan pertumbuhan bakteria serta bermanfaat dalam saluran penghadaman. Kandungan serat yang tinggi membantu proses penghadaman lebih cepat. • Elak kanser paru-paru Makan sebiji epal sehari menguatkan fungsi paru-paru. Epal kukus yang dimakan bersama madu bermanfaat mengurangkan batuk kering dan membantu mengeluarkan lendir daripada paru-paru. • Baik untuk demam Epal tinggi kandungan air, baik untuk penyejukan badan dan membantu mengurangkan demam. • Turunkan risiko penyakit jantung dan mengelak kanser Epal kaya pektin dan serat larut yang membantu mengurangkan kanser dan penyakit jantung. Fitonutrien antioksidan yang ditemui dalam epal mendorong melawan kesan kerosakan kolesterol tidak baik (LDL). • Kawal gula dalam darah Oleh kerana tinggi serat, gula semula jadi dalam epal secara perlahan-lahan dilepaskan ke dalam aliran darah. Ini membantu mengekalkan kestabilan tahap gula dalam darah. • Perlindungan terhadap asma Penyelidik Belanda mendedahkan ibu yang mengambil epal ketika hamil mampu melindungi anak mereka daripada penyakit asma pada kemudian hari. Epal harus dimakan dengan kulit kerana hampir separuh kandungan vitamin C ada di bawah kulit. Makan dengan kulit juga dapat meningkatkan pengambilan serat tidak larut yang menjadi pelawas terbaik. Jika terlupa menjadikan epal sebagai snek harian, lebih baik sekiranya ia diambil menerusi minuman kerana jus epal sumber terbaik mineral dan kaya vitamin C. Menyedari hakikat ini Heartland Group, pengeluar epal terbesar di New Zealand mengeluarkan jus epal menggunakan epal terbaik eve yang ditanam di kepulauan Nelson. Menurut Pengurus Besar Heartland Fruit Brendon Osborn, epal eve hanya diperoleh di New Zealand dan sesuai dijadikan jus. Minuman dengan rasa semula jadi ini sesuai untuk kanak-kanak kerana sangat menyihatkan. “Oleh kerana kecintaan kami terhadap epal, sejak bertahun lamanya proses penanaman di setiap ladang epal di Nelson sangat dijaga kualitinya termasuk pembungkusan dan penghantaran agar setiap epal yang dihasilkan memenuhi piawaian,” katanya. Pesuruhjaya Perdagangan New Zealand, Matt Ritchie pula berkata, salah satu kajian dijalankan di New Zealand menunjukkan pengguna semakin bijak dan beralih kepada minuman dan makanan semula jadi tanpa bahan tambahan. Mereka juga sanggup membayar harga lebih tinggi untuk mendapatkan produk berkualiti. “Epal dari New Zealand ini berkualiti kerana melalui proses penanaman terbaik dan sihat. Selain itu, persekitaran tenang tanpa pencemaran alam sekitar dan dilakukan secara semula jadi menjadikan tanaman ini hidup subur serta menghasilkan buah berkualiti tinggi,” katanya. Jus Epal Eve kini boleh didapati di Jasons Food hall, Mercato dan Cold Storage pada harga RM19.90. Majlis pelancaran turut dimeriahkan dengan demonstrasi masakan Chef Roizz daripada Kolej Universiti Berjaya.

Tiada ulasan: