Isnin, 15 September 2014
Apa pun penyakit usia bukan penentunya...dengan mengamalkan pelbagai senaman juga bukan menandakan anda sudah sehat...
Hati
Bukan lagi dianggap penyakit orang tua
Oleh Siti Zarinah Sahib
“Saya sihat, saya bersenam hampir setiap minggu dan mewakili daerah dalam pertandingan bola sepak,” kata Andy, 36, kepada rakannya apabila diminta menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital.
Ramai berpendapat, bersenam langkah terbaik mengelak penyakit kardiovaskular terutama jantung. Tetapi sedarkah anda mengenai kes yang berlaku beberapa tahun lalu membabitkan lelaki muda dalam lingkungan usia 30 hingga 40-an yang disahkan meninggal dunia kerana menghidap sakit jantung?
Ini memberi gambaran penyakit ini tidak lagi menyerang individu berusia, sebaliknya golongan muda. Malah ia juga bukan lagi penyakit pak cik dan mak cik, juga tidak menyerang orang kaya saja, sebaliknya ia semakin kerap dihidapi golongan muda.
Ini diakui Ketua Unit Kardiologi Hospital Pusrawi, Datuk Dr Azar Azman Abu Bakar apabila mengatakan keadaan kesihatan hari ini jauh berbeza dengan keadaan 10 tahun lalu.
Foto
BAHAGIAN injap yang menyebabkan masalah koronari jantung.
“Kira-kira 10 tahun lalu, serangan jantung berlaku terhadap lelaki berusia awal 50-an manakala perempuan melebihi 55 tahun ke atas. Kini, spektrum ini lebih rendah apabila lelaki dalam lingkungan 35 tahun ke atas dan perempuan 40 tahun ke atas mula mendapat sakit jantung.
“Justeru, golongan muda berusia 30 tahun ke atas perlu berhati-hati dan mula mengambil tahu mengenai tahap kesihatan mereka,” katanya.
Terdapat tiga jenis serangan jantung yang berlaku terhadap orang muda antaranya koronari jantung, demam reumatik dan membabitkan penagih dadah.
Koronari jantung
Kajian menunjukkan sakit jantung koronari penyebab utama sakit jantung pada usia muda. Penyakit ini berpunca apabila salur darah koronari menjadi sempit dan akibatnya, ia tidak dapat membekalkan darah yang cukup kepada otot jantung.
“Salur darah koronari menjadi sempit akibat pengumpulan sel dan plak lemak pada dinding salur darah. Plak ini menjadi semakin tebal jika individu turut menghidap darah tinggi, kencing manis dan kadar kolesterol yang tidak dikawal.
“Akibatnya salur darah koronari menjadi lebih sempit dan tidak dapat membekalkan cukup darah kepada otot jantung,” katanya.
Apabila ini berlaku, pesakit biasanya akan mengalami pelbagai tanda sejak beberapa bulan lalu. Antaranya bahagian tengah dada terasa berat dan menjadi kurang selesa atau seolah-olah ada batu diletak atas dada.
Ia dapat dirasakan ketika seseorang itu berehat atau melakukan aktiviti seperti berjoging atau berjalan. Kesakitan ini boleh merebak sehingga ke dada, leher, rahang, bahu serta tangan kiri dan kanan, diikuti berpeluh, susah bernafas, loya, muntah dan pening sehingga pengsan. Namun ada juga pesakit beranggapan ia gejala gastrik terutama pesakit kencing manis dan darah tinggi tetapi sebenarnya tidak.
Terdapat perbezaan antara simpton gastrik dan sakit jantung. Oleh itu, mereka yang mempunyai tanda ini harus segera menjalani pemeriksaan bagi mengenal pasti sama ada ia sakit jantung atau sebaliknya.
“Walaupun terdapat mesin (ECG) yang digunakan untuk mengesan masalah jantung, kesahihan hanya 25 peratus saja dan selebihnya menerusi pemeriksaan oleh doktor pakar,” jelasnya.
Ditanya mengenai individu yang baru kali pertama mendapat serangan jantung sehingga membawa maut, jelas Dr Azar, memang benar hampir 35 hingga 40 peratus serangan jantung pertama boleh menyebabkan kematian.
Sekiranya salur darah koronari tidak menjadi sempit atau tersumbat 100 peratus, sakit dada biasanya datang apabila jantung dikehendaki bekerja keras seperti pada waktu bersenam, berjalan jauh, naik tangga atau dalam keadaan tekanan mental atau emosi.
Namun jika salur darah koronari tersumbat 100 peratus secara tiba-tiba, ini menyebabkan serangan jantung. Keadaan ini sangat serius dan boleh membawa maut jika tidak dirawat segera.
“Namun, sebenarnya individu itu sudah merasai tanda sejak enam bulan sebelumnya tetapi mengelak untuk membuat pemeriksaan. Bagi wanita pula, mereka turut merasai tanda yang sama seperti lelaki,” jelasnya.
Selain itu, sakit jantung koronari juga berpunca daripada tabiat merokok. Kini merokok dianggap sebagai satu gaya hidup dan kebanyakan mereka yang berusia 20 tahun sudah mula merokok. Walaupun terdapat pelbagai langkah pencegahan daripada kerajaan, kesedaran bahaya merokok masih belum diterima sepenuhnya.
“Dengan peningkatan perokok muda wanita, perlindungan semula jadi melawan penyakit semakin berkurangan. Begitu juga dengan perokok pasif atau penerima kedua seperti isteri dan anak-anak yang menerima kesan lebih hebat berbanding perokok itu sendiri,” katanya.
Kurang kesedaran mengenai pentingnya menjalani pemeriksaan kesihatan berkala juga menyebabkan kes sakit jantung koronari semakin meningkat. Setiap orang diwajibkan menjalani pemeriksaan kolesterol bagi mengetahui mereka bebas daripada penyakit kardiovaskular. Pemeriksaan ini bukan hanya dijalankan sekali saja, tetapi haruslah setiap tahun.
“Mereka yang mempunyai ibu dan ayah atau pak cik dan mak cik menghidap sakit jantung atau meninggal dunia secara mengejut adalah golongan yang wajib membuat pemeriksaan kesihatan. Ini kerana kecenderungan mendapat sakit jantung amat tinggi disebabkan faktor genetik,” jelas Dr Azar.
Demam reumatik
Demam reumatik banyak berlaku di negara miskin dan kurang membangun terutama mereka yang tidak mengamalkan kebersihan seperti di kawasan pedalaman atau setinggan yang tidak mempunyai sumber kewangan untuk mendapatkan rawatan perubatan.
“Ia berpunca daripada jangkitan kuman streptokokus yang menyebabkan seseorang itu demam secara mengejut, sakit sendi dan tekak yang teruk. Apa yang menjadi masalah apabila pesakit tidak mendapatkan rawatan dan hanya makan ubat demam. Lama-kelamaan kuman ini merebak sehingga merosakkan injap kiri jantung,” katanya.
Langkah pencegahan yang boleh diambil adalah menerusi rawatan pada peringkat awal dengan pemberian antibiotik. Namun sekiranya kerosakan menjadi sangat kronik, pembedahan menukar injap jantung perlu dilakukan segera.
Penagih dadah
Penyakit jantung membabitkan golongan muda mudah menyerang penagih dadah apabila mereka berkongsi jarum suntikan dan menyuntik bahagian dada sehingga ke injap kanan.
Simpton awal dialami sama dengan demam reumatik tetapi kerosakan dialami lebih teruk. Rawatan yang biasa dilakukan adalah pemberian antibiotik secara berkala.
Mengikut statistik Kementerian Kesihatan pada 2012, hampir 7.55 peratus pesakit yang dimasukkan ke hospital menghidap penyakit kardiovaskular, namun 24.69 peratus meninggal dunia akibat sakit jantung.
“Oleh itu, amat penting individu menjalani gaya hidup sihat terutama bersenam dan memilih makanan sihat. Apa yang perlu ditekankan adalah kesedaran mengenai pentingnya menjaga kesihatan dan bukannya untuk cantik semata-mata. Wanita misalnya jangan mudah terpengaruh dengan produk kesihatan di pasaran yang tidak bertahan lama,” ujarnya.
Bagi mereka yang kerap bosan disarankan menukar kepada aktiviti berbeza setiap hari. Gabungkan senaman dengan aktiviti harian seperti berjalan, berkebun, bermain dengan anak dan naik turun tangga serta aktiviti yang membuatkan pergerakan jantung menjadi lebih laju.
“Senaman terbaik perlu dilakukan setiap hari namun jika dapat dibuat tiga atau empat kali seminggu itu sudah mencukupi. Lakukan selama 15 hingga 30 minit untuk kesan optimum.
“Wanita pula disarankan mempelajari ilmu pemakanan kerana menerusinya mereka tahu mengenai jenis dan jumlah makanan yang sepatutnya diambil. Dengan ilmu, ibu dapat mendidik anak mengenai makanan sihat seperti membuat tukaran makanan atau ambil dalam kadar sedikit,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/15
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan