Melepasi jerangkap kerusi panas MB Selangor
http://www.detikdaily. | 08 Oktober 2014.
Oleh Dinsman
SELANGOR mempunyai keistimewaan tersendiri daripada segi politik. Selain wilayah termaju, juga menghimpunkan kepelbagaian warganya, episod kejatuhan menteri besar negeri ini turut menggamit perhatian.
Harun Idris dikenang antara menteri besar paling popular, begitu juga Muhammad Muhd Taib dan Dr Mohamed Khir Toyo. Namun begitu, semuanya mencatatkan kontroversi.
Tetapi usah dilupa pemberhentian secara mengejut Abu Hassan Omar selepas tiga tahun berkuasa. Harun dan Mat Taib masing-masing sebelas tahun di tampuk pemerintahan.
Mungkin pengunduran Hormat Rafie (1975-1982) dan Ahmad Razali Mohd Ali (1982- 1986) tidak dapat dikesan babak debar dan getarnya, tetapi menurut sumber ia tetap menyimpan cerita menarik.
Rupanya bukan sekadar menteri besar Umno mengakhiri kerjaya secara “tragis”, Khalid Ibrahim, ketua kerajaan negeri pertama yang dilantik atas permuafakatan politik Pakatan Rakyat juga dihimpit tekanan dalaman.
Bedanya, Khalid tidak dicemari catatan hitam berkaitan rasuah, salahguna kuasa atau skandal moral yang menjelikkan. Rekod perkhidmatannya selama empat setengah tahun boleh dibanggakan.
Cuma Khalid dilihat mengemudi kerajaan secara keseorangan, mengetepikan semangat kerja berpasukan, tidak patuh arahan parti dan “terlalu kedekut”. Hubungan dengan akar umbi, seperti dibuktikan di kawasan Dun yang diwakilnya pada 2008-2013, Ijok sering dipersoal.
Menteri Besar ke-15, Azmin Ali, yang juga Timbalan Presiden KeADILan, relatif muda usianya, 50 tahun. (Sebenarnya Khir Toyo semasa dilantik secara mengejut menggantikan Abu Hassan, jauh lebih muda, baru berumur 35 tahun).
Pengalaman siasahnya “berwarna-warni”. Dikatakan bermula rapat dengan Dr Mahathir Mohamad dan Siti Hasmah Mohd Ali, dan seterusnya menjadi pendamping erat dan paling dekat dengan Anwar Ibrahim.
Anak kelahiran Singapura ini tidak memegang jawatan penting politik dalam Umno (sehingga 1998) tetapi Azmin cepat membuktikan keupayaan sebagai pemimpin ketika bersama meledakkan tuntutan reformasi pada 1998 dan kemudiannya mengasaskan Parti Keadilan Nasional.
Dalam PRU10 pada 1999, Azmin merupakan wakil solo partinya dalam sidang Dun Selangor. PAS menang empat kerusi, melalui Dr Hassan Ali, Ustaz Ismail Kamus, Ustaz Solehin Mukhyi dan Dr Shafie Abu Bakar, manakala DAP juga mempunyai seorang Adun tunggal, Teng Chang Khim.
Pemilihan Azmin sebagai menteri besar tidak mudah, berliku-liku dan bagi pemerhati politik, kontroversi mencari pengganti Khalid telah menghantar Pakatan Rakyat ke penjuru yang agak gelap.
Meskipun Langkah Kajang mensasarkan Anwar sebagai MB – yang dikatakan untuk memudahkan misi ke Putrajaya – dan digagalkan oleh keputusan Mahkamah Rayuan yang dilihat bermotif politik, juga disusuli halangan istana yang mengecewakan Dr Wan Azizah Wan Ismail, namun banyak pihak merasakan, keputusan melantik Azmin, Pengerusi KeADILan Selangor masih tidak terkeluar daripada kerangka Kajang Move itu.
Dengan rangkaian pengaruh sedia ada yang meluas dalam parti, apatah lagi disokong kuat posisinya sebagai menteri besar negeri terkaya, Azmin dijangka adalah pewaris kepada legasi Anwar yang sukar disekat lagi.
Bagaimanapun, kerusi panas MB Selangor tidak semestinya menjanjikan masa depan cerah buat penyandang. Apa pun, pastinya Azmin mahu menamatkan kisah khurafat badi jawatan strategik itu.
Mat Taib yang dipilih Naib Presiden Umno bersama Team Wawasan Anwar pada 1993 juga mempunyai potensi cerah tetapi tersekat disebabkan masalah yang dipikulnya semasa menjadi MB.
Khir Toyo merupakan antara tokoh muda yang mendapat undi paling tinggi dalam pemilihan Majlis Tertinggi Umno dan dijangka dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno, tetapi tewas kepada Khairy Jamaluddin pada 2009, sejurus selepas BN kalah besar di Selangor dalam PRU12.
Tugas, tanggungjawab dan cabaran yang mendepani Azmin cukup kritikal. Dari aspek politik, beliau bukan sahaja perlu memperkukuhkan partinya sendiri, tetapi jauh lebih penting adalah memulihkan semula hubungan dalam Pakatan, bukan semata-mata dalam konteks Selangor tetapi juga di peringkat nasional.
Silap menguruskan politik Selangor, sekurang-kurangnya untuk tempoh terdekat, boleh mengakibatkan kerjasama dan muafakat Pakatan terburai.
Berbeda dengan Kelantan mahupun Pulau Pinang, yang diperintah Pakatan, tiada parti yang dominan di Selangor, malah KeADILan mempunyai kerusi Dun paling kecil.
Muafakat Pakatan harus nampak direalisasikan. “Ya, kita mahu lihat di Selangor, parti yang kuasai kerajaan, mungkin seperti ditunjukkan selama 11 bulan di Perak dulu.
Harus ada mesyuarat secara berkala, agenda yang tidak pernah berlaku di zaman Khalid Ibrahim. Jangan ada pihak berasa mereka dibuli,” ujar seorang pensyarah sains politik.
Tanggapan awal terhadap Azmin sebelum ini sebenarnya tidaklah begitu baik, termasuk daripada PAS dan DAP. Mungkin sebahagian besar persepsi itu hanyalah sangkaan dan andaian semata-mata.
Pendekatan Azmin, terutama semasa membuat perundingan kerusi pilihan raya sesama Pakatan, juga dilihat agak keras dan digambarkan sukar bertolak ansur. Ada rakan-rakan pengamal media mendakwa mereka sukar untuk mendekatinya.
Dalam tempoh 100 hari pertama ini, Azmin perlu membuktikan beliau sememangnya merupakan pilihan terbaik. Gaya bicaranya yang teratur, berhati-hati dan kemas tersusun, mungkin cerminan kepada langkah bijaksana yang ditunggu-tunggu banyak pihak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan