Selasa, 11 April 2017

PAS AKAN SAMAN..NANYANG SIANG PAU


Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 14 Rejab 1438H, Selasa – PAS memandang serius tindakan akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau menyiarkan karikatur yang menghina Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Susulan perkara itu, PAS memutuskan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar berkenaan yang disifatkan sengaja menghina bukan sahaja dua pemimpin itu, malah masyarakat dan undang-undang Islam.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyudin Hassan berkata, PAS telah melantik peguam dan mengarahkan supaya tindakan undang-undang dapat diambil dengan segera.

“Dalam hal ini PAS juga menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengkaji semula permit penerbitan akhbar berkenaan dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menerusi muka surat B2 akbar itu menyiarkan karikatur bertajuk “Akta Monyet”, yang menunjukkan seekor monyet bersongkok dan dilabelkan sebagai “speaker” manakala seekor lagi memakai serban dan dinamakan sebagai “Hadi Awang” bertenggek di pokok “Akta 355”.

Bagaimanapun, selepas menyedari karikatur itu menjadi viral di media massa hingga kemarahan umat Islam, akhbar berkenaan memohon maaf kepada Hadi Awang dan Pandikar Amin serta menarik balik kartun itu dari eNanyang.my.

“Merujuk kepada kartun siaran Nanyang Siang Pau di muka surat B2 yang bertarikh 8 April 2017, Nanyang Siang Pau ingin meminta maaf kepada YB Tan Sri Datuk Panglima Pandikar Main Haji Mulia, Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan YB Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS terhadap segala masalah yang timbul daripada kartun itu,” tulis akhbar itu.
Catat Ulasan